Katanya, segala urusan berkaitan dana parti diserahkan sepenuhnya kepada Bendahari UMNO negeri pada ketika itu iaitu Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang turut menguruskan perbelanjaan dan agihan kepada setiap UMNO bahagian di negeri ini.

"Waktu saya jadi Pengerusi UMNO negeri, memang ada keperluan perbelanjaan untuk setiap bahagian tetapi saya serah kepada bendahari. Saya tidak tahu apa kaedah yang dia (bendahari) gunakan tetapi peruntukan yang diperoleh itu adalah untuk gerakkan aktiviti di setiap bahagian.

"Selepas itu (peruntukan diperoleh), apa yang berlaku saya tidak tahu tetapi ia langsung tidak libatkan sebarang projek, kontrak atau benda-benda lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan permohonan perlucuthakan sivil terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB. - Bernama