Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Cawangan Utusan, Mohd Taufek Abdul Razak berkata, hasil perbincangan dengan Pengerusi Eksekutif Utusan, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir, pekerja hanya dimaklumkan Utusan akan ditutup sekiranya tiada jalan penyelesaian pembayaran gaji tertunggak pekerja.

“Kami diberitahu kalau tiada jalan penyelesaian, Utusan akan ditutup namun Abd Aziz tidak menyatakan tarikh sebenar tentang perkara itu. Kami mendapat tahu akan ditutup pada Rabu hanya dengar cakap daripada rakan sejawatan.

“Saya juga tidak mendapat perkembangan mengenai mesyuarat Lembaga Pengarah Utusan pada petang tadi, kami cuma dimaklumkan satu taklimat bersama Pengerusi Eksekutif (Abd Aziz) akan diadakan pada 4 petang esok,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Jelasnya lebih 100 pekerja Utusan Melayu (M) Berhad mengadakan demonstrasi di luar ibu pejabat syarikat itu bagi menuntut tunggakan gaji selama dua hingga tiga bulan.

“Abd Aziz memberitahu, Utusan memang tidak ada duit bayar gaji untuk yang tertunggak dan pada masa-masa akan datang dan syarikat itu juga gagal melupuskan aset yang ada,” katanya. - Bernama