Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak itu tiba di pejabatnya di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak di sini pada kira-kira 9.15 pagi.

Turut hadir di pejabatnya ialah Exco kerajaan negeri yang lain termasuk Dr. Abdul Aziz Bari, Wong May Ing, Howard Lee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Buntong A. Sivasubramaniam dan peguamnya, Leong Cheok Keng.

Difahamkan, jadual kerja ADUN Tronoh itu hari ini dipenuhi dengan mesyuarat di pejabatnya yang tertangguh sejak beberapa hari lepas.

"Kenapa tanya saya tidak boleh kerja? Saya masih Exco. Sesiapapun boleh melontarkan tuduhan kepada sesiapa," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Terdahulu, Lebih 20 pengamal media terdiri daripada wartawan dan jurukamera mula berkumpul di pejabat Choo Kiong seawal lapan pagi tadi.

Choo Kiong berkata, sekiranya siasatan mengambil tempoh yang berlanjutan terlalu lama, beliau bersedia untuk direhatkan daripada tugas buat sementara waktu.

Katanya, beliau percaya dengan kepakaran pihak polis untuk menyiasat tuduhan berkenaan dan akan memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan.

"Dalam hal ini saya menafikan sekeras-kerasnya saya tidak pernah melakukan apa-apa dan tunggulah siasatan keluar sekiranya bersalah atau tidak bersalah. Masa akan membuktikan segala-galanya," katanya. 

Ditanya mengenai Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco negeri Perak yang dijadual semalam ditangguhkan kerana siasatan kes berkenaan, Choo Kiong berkata, ia bukan satu ketetapan kerana tempoh lantikan exco adalah sepenggal.

"Setahu saya sebenarnya tidak perlu mengangkat sumpah setiap tahun jika mengikut peraturan tetapi kerajaan negeri boleh melakukannya setiap tahun," katanya. - Bernama