Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPKK, Ir. Muhamad Tarmymy Che Ani berkata, ini kerana tindakan buangan sisa dahan dan ranting menjadi antara penyebab utama punca kepada kejadian banjir di Kulim sejak kebelakangan ini. 

"Tahun 2018 hingga 2019 akan menjadi tahun yang mana MPKK akan menjalankan kerja naik taraf sistem saliran dan perparitan, dan setelah pemantauan dilakukan di beberapa sungai termasuk Sungai Kulim dan Sungai Jarak, kita yakin perkara ini perlu diambil tindakan segera memandangkan ia menimbulkan masalah yang lebih besar iaitu banjir kilat yang tidak berkesudahan," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini. 

Sebagai contoh katanya, perkara ini boleh dilihat di bawah jambatan di laluan Padang Tembak berhampiran Kota Kenari yang mana ia sering dipenuhi dahan dan ranting pokok yang dibuang penduduk sehingga mewujudkan keadaan seumpama 'sarang memerang'. 

"Jadi, untuk tidak mahu perkara ini berterusan, MPKK dan JPS tidak teragak-agak akan mengambil tindakan kepada mereka yang tidak bertanggungjawab melakukannya. 

"Penduduk selalu buat aduan kawasan mereka sering dinaiki air dan pihak JPS pula berusaha membersihkan sungai. Namun, jika tindakan tidak bertanggungjawab ini tidak dibendung, kita yakin masalah banjir kilat di Kulim tidak akan selesai," katanya. - Bernama