Beliau berkata, arahan itu berkuat kuasa pada Sabtu ini (21 April) sehingga 17 Mei dan kesemua anggota dan pegawai berkenaan dikehendaki bertugas di kawasan masing-masing.

"Selain dibekukan cuti, semua anggota dan pegawai juga tidak dibenarkan ke luar negara kecuali keadaan kritikal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar keselamatan kepada agensi yang berkaitan dengan keselamatan dan kebombaan di sini hari ini.

Soiman berkata, pada pilihan raya ini, kira-kira 12,000 anggota dan pegawai bomba yang bertugas di luar dari tempat mengundi akan mengundi secara pos.

Pada masa sama, beliau berkata, untuk memastikan kelancaran proses PRU-14, pihaknya telah membuat pemeriksaan keselamatan di semua premis yang akan digunakan semasa pilihan raya nanti. 

Sementara itu, mengulas mengenai seminar itu, beliau berkata, ia bertujuan untuk memberi pengetahuan kepada pihak industri yang berkait rapat dengan kebombaan, khususnya berkaitan dengan pengurusan bencana.

"Dalam seminar ini kita juga menerangkan mengenai bentuk kerjasama yang perlu dilaksanakan oleh pihak industri berkenaan dengan bomba. Sebanyak lima kertas kerja akan dibentangkan sepanjang seminar ini," katanya. - Bernama