Beliau berkata keutamaan kerajaan Pakatan Harapan pada masa kini adalah untuk tidak membebankan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah atau B40.

Katanya, kerajaan kini sedang mengenal pasti mekanisme terbaik yang lebih inovatif untuk meningkatkan hasil negara dalam usaha membayar hutang negara yang tinggi.

"Kita tidak mahu membebankan rakyat khususnya golongan dalam kategori B40," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Bicara Minda bertajuk 'Ekonomi: Kesejahteraan Untuk Semua', di sini hari ini.

Selasa lepas, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kerajaan perlu mencari sumber dana lain untuk membayar hutang negara termasuk mengenakan cukai baharu dan menjual beberapa asetnya.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata, rejim cukai baharu berbeza daripada cukai jualan dan perkhidmatan semasa serta tidak membebankan rakyat. - Bernama