Li Huanwu, yang merupakan anak lelaki kedua Lee Hsien Yang, dilihat bersama pasangannya, Heng Yirui dalam satu mesej Instagram  yang dikongsi secara dalam talian pada Jumaat 26 Mei berserta kapsyen; “Hari saya mengahwini buah hati saya.”

Gambar Instagram itu memaparkan mereka memakai baju berwarna putih dipadankan dengan seluar khaki di sebuah resort pemburuan di Cape Town.

Bapa Huanwu, Hsien Yang merupakan anak kedua dan anak lelaki paling muda dalam keluarga mendiang Kuan Yew yang meninggal dunia pada bulan Mac 2015.

“Saya percaya mendiang bapa saya tentu teruja mendengar berita ini,” kata Hsien Yang kepada akhbar tersebut ketika ditanya mengenai perkahwinan sejenis anak lelakinya itu.

Hubungan sejenis antara lelaki masih diharamkan di Singapura di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan, namun mendiang Kuan Yew yang memerintah selama 31 tahun sehingga tahun 1990 pernah menyuarakan pandangan berbeza mengenai perkahwinan gay daripada dasar kerajaan menjelang penghujung usianya.

Perkahwinan Huanwu itu diadakan di Afrika Selatan di mana perkahwinan sejenis diluluskan mulai tahun 2006. Pengumuman itu juga menyusul selepas Taiwan dipuji kerana membenarkan perkahwinan gay bermula minggu lalu, yang pertama seumpamanya di Asia. - Agensi