Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu, sembilan anggota dan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya di sini dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan seorang wanita mahu terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Timbalan Penguasa Bomba Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman berkata, ketika sampai di tempat kejadian, mangsa sedang berada di tingkat tiga dan duduk di atas peti pendingin hawa yang berada di bahagian luar bangunan berkenaan.

“Keadaan mangsa tidak terurus dan dirinya juga sedang menangis. Anggota kami berusaha untuk berbual-bual dengannya semasa kami sedang bersiap-sedia untuk menyelamatkannya.

“Akhirnya mangsa berjaya dipujuk 10 minit kemudian dan terus diselamatkan dengan menariknya masuk semula ke dalam bangunan itu menggunakan tali penahan tubuh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Syed Syahril Anuar menambah, mangsa tidak menjawab sebarang pertanyaan anggota bomba dan bertindak mendiamkan diri apabila pihaknya ingin mengetahui punca dirinya cuba membunuh diri.

“Mangsa yang berusia 18 tahun merupakan seorang pelajar wanita di sebuah kolej swasta di sini.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan di tubuhnya dan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” ujarnya. - K! ONLINE