Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden KS Mender Singh berkata, dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, mangsa didatangi dua lelaki berusia 40-an yang ingin membeli jam tangan miliknya berjenama Rolex yang bernilai RM35,800.

Katanya, mangsa sebelum ini mengiklankan untuk menjual jam tangan terbabit di dalam talian dan kemudiannya dihubungi oleh suspek yang berasal dari Kuala Lumpur yang menyatakan hasrat untuk melihat jam terbabit sebelum membelinya.

"Semasa melihat jam tangan itu, suspek cuba melarikannya namun gagal setelah mangsa berjaya menangkapnya di hadapan rumah sebelum menghubungi pihak polis untuk tangkapan dan siasatan selanjutnya.

Bagaimanapun, rakan suspek berjaya melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta dan kini pihak polis giat memburunya," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, hari ini. - Bernama