Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, cuaca panas yang berlaku ketika ini adalah fenomena biasa yang melanda negara berikutan penghujung monsun timur laut. 

"Lazimnya, ketika fasa akhir monsun timur laut ini, memang akan berlaku kenaikan suhu ekoran kekurangan hujan yang mana suhu yang dicatatkan sekarang adalah 34 hingga 36 darjah Celcius berbanding suhu biasa 32 hingga 34 darjah Celcius.

"Negeri di bahagian utara iaitu Perlis, Kedah dan di bahagian utara Perak mencatatkan suhu sehingga 37 darjah Celcius. Bagaimanapun, ia tidak berlaku setiap hari dan setakat ini kita tidak nampak (jangka) ia (suhu) akan sampai hingga 40 darjah Celcius di negeri-negeri tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd. Hisham berkata, bagaimanapun fenomena cuaca panas itu tidak berlaku di negeri-negeri pantai timur dan Sarawak. - Bernama