Menurut laporan tersebut, fenomena itu berlaku akibat fasa monsun Barat Daya yang mendominasi keadaan cuaca negara sepanjang tempoh berkenaan.

"Sepanjang Ogos, kebanyakan tempat di Semenanjung akan menerima hujan pada paras normal dengan jumlah 150mm hingga 250mm kecuali di beberapa tempat di Perak (tengah hingga selatan), Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka menerima hujan sedikit di bawah paras normal antara 100mm dan 150mm.

"Namun hujan lebat, ribut petir berserta angin kencang boleh berlaku di kawasan perairan pantai barat Semenanjung Malaysia pada awal pagi berikutan pembentukan garis badai yang dikenali sebagai 'Sumatras'," menurut laporan itu. 

Pada September, kebanyakan tempat di Semenanjung Malaysia dijangka menerima jumlah hujan pada paras normal antara 150mm dan 250mm. - Bernama