Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, siasatan yang dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar semalam mengesan pertambahan sembilan individu mengalami gejala sama iaitu demam, sakit sendi yang teruk dan ruam.

"Kumulatif kes yang dikesan sehingga pukul 5 petang semalam adalah seramai 23 orang.

"Kebanyakkan pesakit mendapatkan rawatan pesakit luar di klinik swasta sekitar Alor Setar dan keadaan mereka adalah stabil," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, hasil ujian darah mendapati seramai 15 orang disahkan positif Chikungunya dan negatif denggi.  

"Berdasarkan keputusan ujian makmal ini, maka wabak ini disahkan sebagai wabak Chikungunya," ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Norhizan, aktiviti kawalan vektor telah dijalankan dengan melakukan pemeriksaan premis di kawasan yang terlibat.

"Sebanyak 342 premis dan 1,355 bekas telah diperiksa dengan 16 premis didapati positif pembiakan. Sebanyak 10 premis dikenakan kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP 1975)," jelasnya.

Tambahnya, aktiviti semburan kabus juga telah dijalankan dalam radius 200 meter dari kawasan terlibat.

"Orang ramai yang mempunyai gejala demam dan sakit sendi terutama penduduk di kawasan Jalan Tunku Ibrahim sekitar City Plaza dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan berdekatan," katanya.

Kosmo! Online semalam melaporkan seramai 14 penduduk yang berada di deretan rumah kedai berhampiran pusat beli-belah City Plaza disyaki menghidap penyakit Chikungunya selepas mengalami demam, sakit sendi dan ruam dengan gejala awal bermula pada 9 Jun lalu. - K! ONLINE