Mereka yang berusia 40 hingga 59 tahun itu diberkas secara berasingan di sekitar daerah tersebut pada pukul 4 petang.

Dalam Op Cuci itu, seramai lapan pemilik syarikat yang disyaki bersekongkol dengan pegawai-pegawai terbabit dalam memonopoli projek-projek berkaitan bekalan air di negeri berkenaan turut dipanggil bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, kegiatan rasuah serta salah guna kuasa CEO dan pegawai-pegawai kanan itu dipercayai bermula sejak 2014.

"Sepanjang tempoh 4 tahun itu, lapan syarikat yang dikawal oleh salah seorang kontraktor telah memonopoli projek-projek yang ditawarkan oleh perbadanan tersebut dan dianggarkan bernilai RM23 juta," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut sumber itu, modus operandi sindiket tersebut ialah memberi fokus kepada kerja-kerja bernilai RM50,000 yang diberikan secara runding terus.

Bagi kerja-kerja melebihi jumlah tersebut, projek akan dibahagikan kepada dua fasa atau tiga fasa bagi mengelakkan proses sebut harga dan ia menyalahi peraturan kewangan yang ditetapkan.

"CEO tersebut juga mempunyai kuasa untuk memilih syarikat-syarikat bagi kerja-kerja yang tidak melebihi RM3 juta," katanya.

Keempat-empat pegawai itu ditahan untuk membantu siasatan dan dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan untuk mendapatkan permohonan reman esok.

Timbalan Ketua Pesurujaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut namun enggan mengulas lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a), Seksyen 18 dan seksyen 23 Akta SPRM 2009. - K! ONLINE