Dalam kejadian kira-kira pukul 9.22 malam itu, mangsa, Richard Eli Zi Cheng, 15, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda memasuki laluan bertentangan ketika berada di jalan itu.

"Mangsa yang tidak sempat mengelak kemudiannya bertembung dengan treler yang kebetulan berada di laluan berkenaan.

"Impak kemalangan menyebabkan mangsa tercampak hingga mengalami kecederaan serius," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Tambah Alexson, pemandu lori dan kelindan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Bintulu untuk tindakan selanjutnya.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - K! ONLINE