Mohd. Zawawi, 48, tiba bersama isterinya, Hazlina Abdul Razak, 48, pada pukul 8.59 pagi.

Kedua-duanya mengundi di saluran empat di sekolah berkenaan. 

Mohd. Zawawi yang juga Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana telah selesai menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi.

"Alhamdulillah, saya dan isteri telah selesai mengundi. Anak saya, Abdullah Faizi yang berusia 23 tahun juga akan mengundi di sekolah ini.

"Sekolah ini juga merupakan sekolah tempat saya menuntut ilmu 30 tahun lalu dan gembira dapat kembali ke sini walau untuk mengundi," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Zawawi turut menasihatkan kepada semua pengundi yang layak untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Saya mohon kepada semua pengundi yang berdaftar di Sungai Kandis agar keluar awal untuk mengundi,"ujarnya.

PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd. Zawawi, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dan calon bebas, K. Murthy.

Ia diadakan ekoran kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafie akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Pada PRU-14 lepas, Mat Shuhaimi yang mewakili PKR mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ketiga berturut-turut dengan memperoleh 23,998 undi menentang calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518), calon Pas, Mohd. Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76). -K! ONLINE