Membidas cadangan yang dikemukakan Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim itu, Tan berkata ini kerana menghadiri persidangan DUN adalah tugas asas setiap wakil rakyat untuk memperjuangkan nasib masyarakat setempat.

"Sebagai ADUN mereka sememangnya menerima bayaran dari dana awam untuk menghadiri persidangan DUN. Jika tugas itu masih tidak mampu dibuat, maka elaun mereka sepatutnya dipotong sebagai hukuman. Ini akan menjadi amaran kepada ADUN lain. 

"Sekarang, ia memberi gambaran bahawa ADUN terpaksa dibayar lebih untuk menghadirkan diri. Lebih-lebih lagi berdasarkan rekod persidangan DUN hanya bermesyuarat selama 20 hingga 30 hari setahun. Jika wakil-wakil rakyat tidak menghadiri sesi DUN, apa lagi kerja mereka?," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Dilaporkan Ng berkata beliau mempertimbangkan pelbagai kaedah bagi menggalakkan kehadiran ADUN dalam sesi persidangan dewan pada bulan hadapan, antaranya menaikkan elaun kehadiran para ADUN.

Ng yang juga ADUN Sekinchan dilaporkan mencadangkan kenaikan enam kali ganda elaun kehadiran ADUN iaitu dari RM75 sehari seperti sekarang kepada antara RM300 hingga RM500 sehari, sama seperti amalan parlimen.

Dalam pada itu Tan berkata seperti yang dilaporkan media, setiap ADUN Selangor menerima gaji bulanan sebanyak RM11,250.

Mereka turut menerima pelbagai elaun lain termasuk RM10,000 sebagai peruntukan pejabat, RM6,000 untuk tiga pembantu, dan RM1,500 elaun khas, yang keseluruhannya berjumlah RM19,500 sebulan.

Oleh itu, Tan berharap kesemua 49 ADUN kerajaan dan lima ADUN pembangkang akan menolak cadangan itu.

Tan akan berhadapan calon Pakatan Harapan Wong Siew Ki dalam PRK itu pada 8 Sept ini yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lepas. - Bernama