Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia antara beberapa keputusan yang dibuat pada Mesyuarat Kesejahteraan Mental yang dipengerusikan beliau hari ini.

Antara perkara lain yang diputuskan dalam mesyuarat itu termasuk cadangan untuk mempertimbangkan pengecualian caj telefon pada Talian Kasih 15999 dan talian Befrienders serta menerapkan sistem nilai yang holistik dalam pelbagai aspek kehidupan khususnya sistem pendidikan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, beliau berkata, mesyuarat turut bersetuju untuk melancarkan kempen 'Deklarasi Keluarga' bersempena Hari Kebangsaan yang bertujuan menerapkan nilai kekeluargaan.

Wan Azizah berkata, mesyuarat juga memutuskan untuk mengisytiharkan Oktober sebagai bulan kesedaran isu kesejahteraan mental dan melaksanakan Kempen Kesedaran Nasional: Let's Talk Malaysia dalam usaha kerajaan untuk menghapuskan stigma masalah mental.

Mesyuarat tersebut melibatkan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Dalam Negeri, Pejabat Menteri Agama dan Polis Diraja Malaysia.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, insiden seorang remaja perempuan berusia 16 tahun menamatkan riwayatnya selepas 69 peratus netizen mengundi 'D' (bermaksud mati) di status Instagramnya pada bulan lepas jelas menunjukkan tahap kesedaran kesejahteraan mental perlu ditingkatkan.

"Ini juga menunjukkan pengaruh dan kesan negatif media sosial ke atas generasi muda," katanya. – Bernama