Pada 9.10 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.18 mata kepada 1,677.92 daripada 1,678.10 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks itu dibuka 1.14 mata lebih tinggi kepada 1,679.24.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 223 berbanding 89, manakala 146 kaunter tidak berubah, 1,457 kaunter tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 229.19 juta unit bernilai RM74.16 juta.

Dalam nota hari ini, Kenanga Investment Bank Bhd. berkata, secara teknikal, indeks penanda aras itu berkecenderungan susut ketika ini dan sentimen negatif berterusan boleh mendorong indeks tersebut turun malah lebih rendah kepada paras 1,615.

"Sekiranya pemulihan positif berlaku, paras rintangan boleh direkodkan pada 1,720 dan 1,760," menurut firma itu.

Sementara itu, Maybank IB Research berkata, pasaran dijangka terus rendah hari ini memandangkan sentimen akan dipengaruhi oleh kebimbangan perang perdagangan yang serius.

Firma penyelidikan itu berkata, saham minyak dan gas boleh mengalami tekanan daripada kejatuhan harga minyak mentah.

"Secara teknikal, kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan antara 1,630 dan 1,710 hari ini. Sokongan negatif diselaraskan kepada 1,650 dan 1,630," menurut Maybank IB. – Bernama