Pada sesi penutup, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.01 mata untuk ditutup kepada 1,811.6 selepas bergerak antara paras 1,804.89 dan 1,814.748 sepanjang hari dagangan.

Indeks itu dibuka 0.99 mata lebih rendah kepada 1,807.06 daripada paras penutup 1,808.59 pada Jumaat.

Menyumbang 2.345 mata kepada  indeks komposit, Maybank meningkat 12 sen kepada RM9.93 dengan 12.8 juta saham bertukar tangan.

Bagaimanapun, di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 572 berbanding 376 dengan 374 kaunter tidak berubah, 551 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung. 

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.75 bilion unit  bernilai RM2.02 bilion daripada 2.59 bilion unit bernilai RM2.20 bilion pada Jumaat.

Seorang peniaga berkata meskipun musim pendapatan korporat telah hampir berakhir, faktor yang memacu permintaan sejak beberapa minggu lepas, sentimen dalam pasaran tempatan dan bursa serantau dirangsang oleh kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, Jerome Powell, yang tidak membayangkan akan menaikkan kadar faedah.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.41 peratus kepada 3,226.32,  Indeks Hang Seng Hong Kong melonjak 2.17 peratus kepada 28,271.27 dan Nikkei 225 Jepun naik 0.88 peratus kepada 22,799.64.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank naik lapan sen kepada RM24.98, Tenaga meningkat dua sen kepada RM15.72, Petronas Chemicals menokok 13 sen kepada RM9.50, bagaimanapun CIMB susut dua sen kepada RM5.96.

Dalam kalangan saham cergas, Sapura Energy turun empat sen kepada 37.5 sen, Xinghe susut setengah sen kepada empat sen, manakala Borneo Oil, Priceworth dan Sumatec tidak berubah masing-masing pada 6.5 sen, 6.5 sen dan 3.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 9.56 mata kepada 12,751.05, Indeks FBMT 100 naik 14.65 mata kepada 12,543.46 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 2.17 mata kepada 12,883.96.

FBM 70 susut 5.14 mata kepada 15,420.23, manakala Indeks FBM Ace turun 34.03 mata kepada 5,401.07.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 66.84 mata kepada 17,751.57, Indeks Perusahaan meningkat 4.7 mata kepada 3,243.96, tetapi Indeks Perladangan susut 54.77 mata kepada 7,590.58.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.74 bilion saham bernilai RM1.79 bilion daripada 1.90 bilion saham bernilai RM2.02 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 484.92 juta unit bernilai RM139.44 juta berbanding 387.22 juta unit bernilai RM93.18 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menokok kepada 531.48 juta saham bernilai RM95.66 juta berbanding 300.06 juta saham bernilai RM94.52 juta.

Barangan pengguna menyumbang 75.32 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (3.31 juta), pembinaan (115.84 juta), perdagangan dan perkhidmatan (941.76 juta), teknologi (85.46 juta), prasarana (6.26 juta), SPAC (2.87 juta), kewangan (47.52 juta), hotel (205,800 juta), hartanah (111.4 juta), perladangan (15.98 juta), perlombongan (13,000), REITs (2.36 juta), dan dana tertutup (110,700). - Bernama