Pada pukul 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.49 mata kepada 1,650.64 daripada 1,649.15 pada penutupan semalam.

Indeks dibuka rendah 1.33  mata kepada 1,647.82. 

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 154 kepada 71, manakala 138 kaunter tidak berubah,1,547 tidak didagangkan dan 48 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 100.07 juta saham bernilai RM33.94 juta.   

Dalam nota hari ini, Public Investment Bank Bhd berkata di Wall Street, Purata Perindustrian Dow Jones menokok 14.51 mata kepada 25,516.83 manakala S(amp)P 500 merosot 2.35 mata kepada 2,798.36.

"Saham US ditutup kebanyakannya rendah pada Isnin selepas data menunjukkan kelemahan dalam ekonomi global yang menyebabkan penyusutan besar pada akhir minggu lepas, manakala pelabur terus dilanda kebimbangan berikutan penyongsangan keluk hasil," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan PBBank meningkat dua sen masing-masing kepada RM9.25 dan RM23.78.

Tenaga menambah empat sen kepada RM12.80, PChem naik tujuh sen kepada RM9.10 dan CIMB menokok tiga sen kepada RM5.15.

Dalam kalangan kaunter cergas, Bumi Armada dan Scomi masing-masing meningkat satu sen kepada 20.5 sen dan 5.5 sen.

Sementara itu, Velestro Energy setengah sen lebih tinggi kepada 30 sen manakala Sapura Energy dan XOX kekal pada 34.5 sen dan lima sen.

Indeks FBM Emas menokok 11.85 mata kepada 11,575.36, Indeks FBMT 100 bertambah 10.84 mata kepada 11,430.97 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 11.85 mata kepada 11,575.36.

Indeks FBM 70 meningkat 15.27 mata kepada 14,140.14 dan Indeks FBM Ace naik 30.21 mata kepada 4,773.5.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 37.34 mata kepada 17,032.12, Indeks Perindustrian dan Indeks Perkhidmatan naik 0.49 mata kepada 168.09. 

Indeks Perladangan pula menyusut 19.61 mata kepada 7,166.73. - Bernama