Pada pukul 9.01 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.31 mata kepada 1,619.84, daripada 1,618.53 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks dibuka rendah 2.62 mata kepada 1,615.91. 

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 133 berbanding 58, dengan 121 kaunter tidak berubah, 1,598 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 49.69 juta saham bernilai RM19.58 juta.

Melainkan terdapat kejayaan dalam rundingan penting itu, kami menjangka saham di Bursa Malaysia terus berada pada paras rendah, susulan daripada kenyataan Presiden AS Donald Trump yang dijangka akan menaikkan tarif ke atas barangan China yang bernilai US$200 (RM831.10) bilion kepada 25 peratus lewat hari ini, menurut Malacca Securities Sdn. Bhd.

"Oleh itu, prospek jangka pendek dilihat semakin lemah dan ini boleh menjejaskan sentimen pasaran. Kami turut menjangka kecenderungan kepada penurunan dan dijangka saham rendah pada akhir minggu dagangan," katanya.

Firma penyelidikan itu berkata dengan paras 1,620, indeks utama boleh mencecah kepada paras rendah 1,609 mata baru-baru ini dan jika ia berterusan, FBM KLCI boleh menjejaki semula kepada paras 1,600.

Semalam, indeks petunjuk pasaran Asia terus merosot berikutan sentimen terjejas oleh kebimbangan mengenai pertikaian perdagangan antara AS dan China.
Nikkei (-0.9 peratus) diniagakan rendah untuk tiga sesi berturut-turut manakala Shanghai Composite (-1.5 peratus) turut susut.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat dua sen kepada RM8.99, Tenaga menambah enam sen kepada RM12, Public Bank tidak berubah pada RM22.28 manakala Petronas Chemicals susut satu sen kepada RM8.89.

Daripada saham yang diniagakan secara aktif, MQ Technology menambah setengah sen kepada 4.5 sen, Metronic Global tidak berubah pada tiga sen dan Ekovest naik satu sen kepada 88.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 20.34 mata kepada 11,448.32, Indeks FBMT 100 menokok 20.69 mata kepada 11,278.45 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 14.25 mata kepada 11,647.64.
FBM 70 menambah 72.84 mata kepada 14,198.84 dan FBM Ace meningkat 11.24 mata kepada 4,555.92.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 28.48 mata kepada 16,628.38, Indeks Perladangan menokok 6.23 mata kepada 7,113.98, bagaimanapun Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.09 mata kepada 167.00. - Bernama