Pada pukul 9.04 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.59 mata pada 1,812.19 berbanding 1,811.6 pada penutup Isnin.

Keuntungan Petronas Chemicals membantu meningkatkan indeks utama sebanyak 2.713 mata.

Saham berkenaan meningkat 19 sen kepada RM9.69 dengan 103,600 saham bertukar tangan.

Indeks dibuka susut 0.21 mata pada 1,811.39.

Di sebalik pembukaan yang rendah, indeks komposit bergerak ke wilayah positif selepas itu, menyertai peningkatan yang dilihat pada bursa serantau.

Seorang peniaga berkata, sentimen pasaran dipacu oleh perjanjian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-Mexico, satu kaedah menggantikan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara.

Presiden AS, Donald Trump, turut menjemput Kanada untuk menyertai perjanjian berkenaan secepat mungkin atau tertinggal melalui ancaman bahawa beliau boleh mengarahkan tarif dikenakan terhadap kereta buatan Kanada.

Suasana pasaran di Bursa juga adalah positif dengan untung mengatasi rugi 159 kepada 96, manakala 147 kaunter tidak berubah, 1,495 tidak diniagakan dan 56 digantung.

Jumlah dagangan adalah 107.13 juta unit bernilai RM36.76 juta.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank menokok dua sen kepada RM9.95, manakala Public Bank susut dua sen kepada RM24.96, Tenaga susut 10 sen kepada RM15.62 dan CIMB susut satu sen kepada RM5.95.

Antara yang aktif, Vivocom dan QES meningkat setengah sen setiap satu masing-masing kepada 3.5 sen dan 28 sen, manakala Sapura Energy tidak berubah pada 37.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 5.72 mata pada 12,756.77, Indeks FBMT 100 meningkat 4.23 mata kepada 12,547.69, FBM 70 meningkat 5.77 mata kepada 15,426, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 12.43 mata kepada 12,896.39, manakala Indeks FBM Ace meningkat 41.14 mata kepada 5,442.21.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 5.45 mata kepada 17,757.03, tetapi Indeks Perindustrian susut 0.5 mata kepada 3,243.46, dan Indeks Perladangan susut 6.07 mata kepada 7,584.51. - Bernama