Pada pukul 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.42 mata kepada 1,801.53 berbanding 1,798.11 pada Selasa.

Indeks penanda aras itu di dibuka 3.49 mata lebih tinggi kepada 1,801.60.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya ditutup semalam bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 169 berbanding 83 dengan 173 kaunter lain tidak berubah, 1,473 tidak diniagakan manakala 43 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 108.51 juta unit bernilai RM60.89 juta.

Seorang peniaga berkata prestasi Bursa Malaysia yang lebih baik hari ini dipengaruhi oleh jangkaan para pelabur bahawa rundingan perdagangan Amerika Syarikat-China akan menyaksikan perkembangan lebih positif untuk perdagangan global.

Sementara itu, Kenanga Research menerusi nota penyelidikannya hari ini berkata FBM KLCI dijangka mencatat aliran lebih tinggi ke arah paras rintangan pada 1,830 dan 1,870 manakala paras sokongan pula adalah sekitar 1,750 dan 1,720.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut empat sen kepada RM9.78 manakala Public Bank untung enam sen kepada RM24.74, TNB meningkat dua sen kepada RM15.76 dan Petronas Chemicals naik empat sen kepada RM9.42.

CIMB sebaliknya tidak berubah pada RM5.89.

Bagi saham aktif pula, Sapura Energy untung 1.5 sen kepada 60.5 sen manakala MY EG, Asia Knight dan Velesto masing-masing naik satu sen kepada RM1.32, 18 sen dan 29 sen.

Borneo Oil dan Nova MSC masing-masing tidak berubah pada enam sen dan 18 sen.

Antara kaunter paling untung dalam dagangan awal adalah Panasonic yang melonjak RM1.04 kepada RM41.90 diikuti oleh Petronas Dagangan yang meraih 40 sen kepada RM27.04, PPB untung 20 sen kepada RM16.96 dan Petronas Gas meningkat 18 sen kepada RM19.18.

Indeks FBM Emas meningkat 21.52 mata kepada 12,721.67 manakala Indeks FBMT 100 menokok 20.53 mata kepada 12,500.05 dan FBM 70 naik 13.47 mata kepada 15,465.58.

Selain itu, indeks FBM Emas Shariah menambah 33.27 mata kepada 12,912.68 dan Indeks FBM Ace naik 4.77 mata kepada 5,552.69.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 6.18 mata kepada 17,481.48, Indeks Perusahaan naik 11.27 mata kepada 3,276.95 manakala Indeks Perladangan meningkat 26.48 mata kepada 7,629.88. - Bernama