Pada pukul 9.06 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.91 mata kepada 1,781.04 daripada 1,778.13 semasa ditutup semalam.

Indeks dibuka tinggi 4.61 mata kepada 1,782.74.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 135 berbanding 73 kaunter dengan 153 tidak berubah, 1,523 tidak diniagakan dan 42 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 65.41 juta unit bernilai RM27.72 juta.

Public Investment Bank Bhd. berkata, indeks lebih tinggi itu menjejaki Wall Street semalaman yang ditutup kukuh didorong oleh saham berkaitan teknologi. 

Dilaporkan Apple merupakan pemacu utama kepada peningkatan teknologi di Wall Street dengan nilai pasaran sahamnya naik hampir tiga peratus kepada US$1 trilion. Ia adalah syarikat Amerika Syarikat senaraian awam yang pertama mencapai kejayaan itu.

Sementara itu, firma penyelidikan tersebut berkata susulan penutupan rendah semalam di FBM KLCI selepas lapan hari meningkat sebelum ini dijangka indeks diniagakan mendatar hari ini dengan kecenderungan untuk meningkat sedikit.

"Paras halangan pada 1,783 dan sokongan pada 1,762 hari ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ini. 

Daripada saham wajaran tinggi, Maybank meningkat dua sen kepada RM9.86 dan Public Bank naik enam sen kepada RM24.24.

Tenaga susut empat sen kepada RM15.24, Petronas Chemicals jatuh satu sen kepada RM9.00 manakala CIMB tidak berubah pada RM5.85. 

Dalam kalangan saham aktif, Hubline dan Sapura Energy, masing-masing naik setengah sen kepada enam sen dan 59.5 sen, manakala Borneo Oil tidak berubah pada enam sen. 

Daripada senarai kaunter paling untung, United Plantations naik RM1.08 kepada RM27.88, Petronas Gas menambah 28 sen kepada RM27.00 dan PetronM menokok 20 sen kepada RM7.99.

Indeks FBM Emas meningkat 15.82 mata kepada 12,597.57, Indeks FBMT 100 menambah 15.69 mata kepada 12,387.36 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 10.02 mata kepada 12,725.93. 

FBM 70 menokok 2.70 mata kepada 15,436.48 dan Indeks FBM Ace meningkat 6.54 mata kepada 5,421.31.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan menambah 27.61 mata kepada 7,589.43, Indeks Kewangan menokok 20.65 mata kepada 17,475.50 dan Indeks Perusahaan naik 12.22 mata kepada 3,272.79. - Bernama