Pada 9.08 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 5.21 mata kepada 1,681.44 berbanding 1,675.86 pada penutupan Selasa.

Indeks dibuka 1.62 mata lebih rendah kepada 1,674.24.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 147 berbanding 64, manakala 144 kaunter tidak berubah, 1,568 tidak diniagakan dan 92 lagi digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 106.89 juta unit bernilai RM48.14 juta. 

Dalam nota penyelidikannya hari ini, Public Investment Bank Bhd. Berkata, saham teknologi di AS pulih dan sektor tenaga meningkat hasil daripada kenaikan harga minyak.

Bagaimanapun, keadaan di tempat lain semakin lemah ekoran kebimbangan mengenai potensi impak ketegangan perdagangan AS-China yang menyebabkan pelabur mengambil pendirian berhati-hati.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd. Berkata, sentimen pasaran yang berterusan negatif mungkin menyaksikan indeks penanda aras jatuh lebih rendah kepada 1,615.

"Sekiranya pemulihan positif berlaku, rintangan dikesan pada 1,720 dan 1,760," katanya dalam nota penyelidikannya hari ini. - Bernama