Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang Khamis lalu itu, Dharma Raj, 34, ditemui mati di kawasan lapang berhampiran Kuil Sri Maha Kaliamman Madurai Veeran, Jalan Kampung Jawa di sini. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, motif kejadian itu diketahui hasil soal-siasat terhadap suspek yang kini direman selama tujuh hari bermula hari ini. 

Katanya, mangsa yang merupakan pengutip besi buruk itu dikatakan telah menganggu isteri suspek sepanjang dia menjalani hukuman penjara di atas kesalahan dadah sebelum ini. 

"Akibat dendam, suspek berusia 35 tahun itu kemudiannya telah bertindak membunuh mangsa dengan menetak sebanyak 25 kali menggunakan sebilah parang sepanjang kira-kira 61 sentimeter. 

"Suspek tersebut baharu dibebaskan daripada penjara November lalu atas kesalahan dadah," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. 

Kata beliau, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan suspek di bawah pengaruh dadah semasa kejadian. 

Baharudin menambah, suspek yang ditahan pukul 11.20 pagi semalam di hadapan rumah keluarganya di Taman Sentosa, Klang itu juga didapati positif dadah jenis syabu. 

"Selain suspek utama itu, polis turut mereman adik suspek berusia 33 tahun selama lima hari bermula semalam susulan motosikalnya digunakan suspek utama semasa kejadian. 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Kesekaan," katanya. 

Kosmo! hari ini melaporkan seorang lelaki mati dalam keadaan mengerikan apabila dia ditetak menggunakan parang sebanyak 25 kali oleh rakannya sendiri di kawasan lapang berhampiran Kuil Sri Maha Kaliamman Madurai Veeran, Jalan Kampung Jawa di sini, kelmarin. - K! ONLINE