Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, ini kerana Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang bertugas ketika kejadian itu telah pun meminta beliau meminta maaf dan meneruskan persidangan. 

"Saya berasa sangat janggal kerana kerajaan Pakatan Harapan sendiri tidak mengiktiraf keputusan Speaker, kerajaan ini dilihat seolah-olah nak 'overruled' (melanggar perintah) Speaker ketika itu. 

"Speaker telah minta saya minta maaf dan saya dengan ikhlas telah memohon maaf dan menarik balik kenyataan saya itu, tetapi hari ini ada pula usul ini," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini, hari ini. 

Mengikut Aturan Mesyuarat dan Usul-Usul Dewan Rakyat hari ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin akan mencadangkan Bung Mokhtar dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas perbuatan yang dianggap menghina Majlis. - Bernama