Sejak petang tadi, cuaca mendung sebelum gerimis membasahi ruang udara Pangkalan Udara Kuantan di sini semasa pesawat khas yang membawa jenazah Almarhum dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang mendarat pada 7.25 petang.  

Selain kerabat diraja, turut berada di pangkalan itu untuk menyambut ketibaan jenazah Almarhum ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman. 

Turut kelihatan ialah bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, barisan anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri dan wakil-wakil rakyat negeri ini. 

Jenazah Almarhum seterusnya dibawa ke Istana Abu Bakar di Pekan, dekat sini dengan van jenazah pada 7.50 petang dengan diiringi tujuh motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM). - Bernama