Menurut kenyataan Prasarana Malaysia Berhad, tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan. 

"Pihak operasi LRT Laluan Kelana Jaya bertindak menutup Stesen LRT Kelana Jaya atas faktor keselamatan," katanya.

Susulan itu, tren dari Gombak ke Putra Heights dan sebaliknya akan melalui Stesen LRT Kelana Jaya tanpa berhenti mengambil penumpang.

Pengguna dari Gombak atau Putra Heights yang ingin ke stesen Kelana Jaya harus turun di stesen  Taman Bahagia untuk menaiki bas perantara ke stesen Kelana Jaya, kata kenyataan itu. 

Pengguna diminta mendapatkan maklumat terkini menerusi Facebook dan Twitter Rapid KL bagi status terkini perkhidmatan LRT.

Pekerja di sebuah kedai serbaneka di stesen berkenaan yang ingin dikenali sebagai Ahmad Zaim, 23, berkata bunyi dentuman kuat ketika kejadian mengejutkan beliau yang sedang menyusun barang di kedainya. 

"Orang ramai yang berada berhampiran bergegas meninggalkan kawasan itu, sebahagian  kepingan  bumbung stesen ini telah jatuh berhampiran pencawang elektrik dan tempat letak kereta," katanya ketika ditemui Bernama. 

Bagi pengguna LRT yang hanya ingin dikenali sebagai Vinosh berkata: ""Saya tinggal di Kelana Jaya dan guna stesen ini setiap hari, terkejut apabila diberitahu ia ditutup sementara waktu...nasib baik Prasarana  sediakan bas transit untuk ke stesen berhampiran," katanya. 

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati orang ramai tidak dibenarkan mendekati kawasan itu dan diminta mengosongkan stesen berkenaan.
Pihak pengurusan dan kontraktor turut dilihat melakukan tinjauan dan kerja-kerja pembersihan sudah mula dijalankan. - Bernama