Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Muhammad Hazrin Zulkifli berkata, kejadian tersebut melibatkan lima buah kereta iaitu kereta jenis Perodua Alza, Bezza, Axia, Proton Exora serta Nissan Almera milik kakitangan di kilang tersebut.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.06 petang dan enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu mengalihkan bumbung tersebut.

“Apabila sampai di lokasi, kami mendapati tiada mangsa yang terlibat dan pemantauan dibuat bagi memastikan keadaan terkawal dan selamat sebelum mengesyorkan kepada pemilik kilang bagi memanggil kren untuk mengalihkan bumbung itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Muhammad Hazrin menambah, ketika kejadian, pemilik kereta-kereta tersebut berada di dalam pejabat dan hanya menyedari kejadian itu melibatkan kereta mereka apabila dimaklumkan oleh pengawal keselamatan yang bertugas.

“Hasil siasatan dijalankan mendapati bumbung berkenaan dipasang pada tingkat atas bangunan empat tingkat kilang tersebut namun hujan lebat menyebabkannya tercabut dan diterbangkan angin sebelum menghempap kereta yang diletakkan berdekatan dengan pejabatnya.

“Walaupun bumbung tersebut menghempap kereta-kereta itu, tetapi kerosakan yang dialami tidak teruk walaupun jika melihat kepada saiznya, ia mampu menyebabkan kerosakan yang serius.

“Setelah keadaan terkawal, pihaknya menyerahkan kepada pemilik bangunan untuk mengambil tindakan selanjutnya termasuk mengalihkan bumbung tersebut,” ujarnya. - K! ONLINE