Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, jumlah tetakan itu diperolehi hasil bedah siasat terhadap mangsa, Dharma Raj berusia 34 tahun di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

"Kita turut berjaya menahan suspek utama pukul 11.20 pagi tadi di hadapan sebuah rumah di Taman Sentosa, Klang.

"Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya turut merampas sebilah parang kebun sepanjang 61 sentimeter dan motosikal jenis Honda EX5 yang digunakan suspek semasa kejadian.

Ujarnya, parang panjang itu ditemui di dalam longkang pada jarak 30 meter dari rumah keluarga suspek. 

"Semakan rekod mendapati suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk baharu hampir tiga bulan dibebaskan daripada penjara atas kesalahan dadah.

"Siasatan turut mendapati mangsa dan suspek saling mengenali dan turut terbabit dalam aktiviti penagihan dadah," katanya. 

Baharudin menjelaskan, selain suspek turut ditahan bagi membantu siasatan adalah adik suspek berusia 33 tahun berikutan motosikalnya digunakan oleh suspek semasa kejadian. 

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Kosmo Online semalam melaporkan seorang lelaki mati ditetak sebanyak lapan kali menggunakan parang panjang di kawasan lapang berhampiran Kuil Sri Maha Kaliamman Madurai Veeran, Jalan Kampung Jawa di sini petang semalam. - K! ONLINE