Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis, Mohamad Paisal Amri berkata, seperti buah durian walaupun pengeluarannya meningkat kali ini namun, masih boleh terjual dengan harga yang berpatutan di seluruh negara.

"Pengeluaran secara serentak di seluruh negara menyebabkan berlakunya lebihan pengeluaran.

"Namun, kelebihan kepada pengguna ialah mereka dapat merasai buah durian yang enak dengan kadar harga yang berpatutan sementara petani pula dapat memasarkan dan menjual hasil tanaman mereka dengan baik," katanya di perkarangan Pejabat FAMA Perlis di sini hari ini.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas mengadakan Program Sembang Santai Bersama Media dan Lebihkan Makan Buah-Buahan Bermusim hari ini.

Turut hadir, wakil Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad iaitu Ahmad Abdullah.

Difahamkan, hasil durian di Perlis kira-kira 100 tan metrik musim ini dan kawasan penanaman di seluruh negeri merangkumi tiga daerah iaitu Kangar, Arau dan Padang Besar.

Harga durian di Perlis bermula RM3 hingga RM30 sekilogram mengikut gred dan jenis. - K! ONLINE