Pengerusinya, Datuk Abdul Wahith Sharfuddin berkata, kejadian itu hanya salah faham kerana semasa kejadian pekerja restoran sedang membuat pembersihan bagi membuang sudu dan garfu yang berkarat dan tidak sesuai digunakan di premis itu lagi.

"Apa yang viral (tular) itu tidak benar, sudu-sudu yang diletakkan di atas jalan seperti dalam gambar itu sebenarnya adalah sudu yang berada di dalam stor sebelum ini.

"Sudu dan garfu itu telah lama dan sebelum ia dimasukkan ke dalam plastik hitam untuk dibuang, pekerja terlebih dahulu meletakkan di atas jalan terbabit.

"Kebetulan ketika itu juga kami sedang melakukan pembersihan di bahagian belakang premis dan gambar yang diviralkan itu seolah-olah nampak kami sedang mencuci sudu dan garfu atas jalan raya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Wahith menegaskan pihaknya kecewa dengan tindakan individu yang tidak bertanggungjawab telah menyebarkan gambar pekerjanya itu sehingga boleh memberikan imej buruk kepada lapan cawangan restoran itu di sekitar Lembah Klang.

"Kita mengikut prosedur yang ditetapkan dalam cara basuhan sudu dan garfu iaitu merendamnya di dalam air berisi sabun sebelum dicuci dengan span dan direndam sekali lagi di dalam air panas," jelasnya.

Susulan kejadian itu, pemilik kepada lapan buah cawangan Restoran Khulafa berkata, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling telah melakukan pemeriksaan di premis berkenaan kira-kira pukul 11 pagi hari ini.

"Pemeriksaan MBSA dan pejabat kesihatan mendapati premis kita adalah bersih dan patuh piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa," katanya.

Semalam, tular di laman sosial Facebook gambar seorang pekerja di Restoran Khulafa cawangan Seksyen 7 Shah Alam dilihat seolah-olah mencuci sudu dan garfu di atas jalan di belakang premis berkenaan.

Status tersebut dibuat naik oleh seorang wanita itu mendapat kecaman dan komen negatif daripada netizen serta telah dikongsi lebih 1,000 individu lain.  - K! ONLINE