Ketika kejadian yang kira-kira pukul 11.15 pagi itu, Al Shabibi Ibrahim Manueer, 17, dikatakan membuka jaket keselamatan dan berswafoto di atas jet ski tersebut sebelum terjatuh akibat dipukul ombak.

Pegawai Bencana Operasi dan Latihan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Langkawi Leftenan (PA) Azamshah Apearal berkata kejadian tersebut disedari pengguna jetski lain yang kemudian membawa lelaki itu ke pantai.

“Mangsa telah dibawa ke Menara Penyelamat Pantai Chenang dan diberikan bantuan pernafasan mulut ke mulut (CPR ) oleh anggota penyelamat pantai APM Daerah Langkawi namun gagal diselamatkan,” katanya di sini hari ini.

Azamshah berkata, mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Maliha dan disahkan meninggal dunia oleh doktor di hospital tersebut.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut. - Bernama