UMNO melalui kenyataan daripada Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabatnya berkata dakwaan kononnya agensi terbabit digunakan sebagai alat politik adalah tidak benar sama sekali kerana ia adalah agensi pemudah urus kerajaan bagi memastikan pentadbiran setiap ceruk negara dipantau.

"Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) misalnya ditubuhkan khas bagi memantau sistem pengangkutan awam darat dan tidak timbul sebarang pertindihan dengan fungsi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," kata kenyataan itu.

Katanya, mungkin ada kebenaran bahawa kerajaan dapat menjimatkan kira-kira RM500 juta setahun dengan pemberhentian semua petugas agensi terbabit tetapi pada waktu yang sama merancang pembubaran tol akan membabitkan pampasan yang terlalu tinggi.

"Kita kesal kerana di saat pekerja di agensi-agensi terbabit akan menyambut Aidilfitri, mereka 'dihadiahkan' dengan keputusan yang sama sekali menutup periuk nasi mereka.

"Kami merasakan adalah wajar pekerja terbabit diserapkan ke jabatan dan agensi lain kerajaan, dan tidak sekadar membiarkan mereka hilang sumber pendapatan dalam sekelip mata," katanya.

Semalam Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet pertama kerajaan baharu mengumumkan beberapa agensi dibubarkan iaitu SPAD, Majlis Profesor Negara (MPN), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP). - Bernama