Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pendekatan di Selangor iaitu rakyat tidak disogok dengan wang tunai sebaliknya kerajaan negeri memberi program dan dasar bagi mensejahterakan mereka.

"Sebagai contoh, bagi peniaga-peniaga kecil golongan B40, kita memberikan bantuan mikrokredit untuk mereka membesarkan perniagaan masing-masing dengan memberikan pinjaman dari nilai RM1,000 sehingga RM50,000 tanpa kadar faedah.

"Dengan bantuan seperti ini, pasti mereka dapat mengupaya ekonomi keluarga masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian serentak Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) 2018 negeri Perak di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin diminta mengulas mengenai petikan wawancara Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama sebuah portal berita tempatan yang melaporkan BR1M akan dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan dalam masa terdekat.

Mohamed Azmin berkata, beliau percaya Dr. Mahathir dan barisan Jemaah Menteri sedang merangka pendekatan dan inisiatif hala tuju ekonomi negara baharu yang bakal dibahaskan di Parlimen pada Oktober ini.

"Hala tuju ini yang meletakkan fokus untuk mensejahterakan rakyat, bukan menyogok dan memperbodoh rakyat.

"Jika ia menjadi fokus kita untuk mengupaya rakyat, saya percaya rakyat akan mempunyai kuasa ekonomi yang lebih dalam membantu meringankan kos sara hidup keluarga masing-masing," katanya. - K! ONLINE