Dalimawati atau nama sebenarnya, Dalimawati Ismail menjadi individu kedua meluahkan perasaan yang sama selepas pelakon utama filem berkenaan, Awie berbuat demikian semalam.

Melahirkan rasa kecewa itu, dia turut mengakui enggan lagi berlakon dalam filem berkenaan jika ia diterbitkan oleh penerbit yang sama

Kata Dalimawati, dia berasa malu dengan bayaran yang diterima kerana terlalu sedikit dan mengambil keputusan untuk berdiam diri.

“Sebelum ini, orang senang-senang kata saya kaya hanya kerana filem HKL mengutip kutipan tinggi di pawagam. Hakikatnya, ingin mendedahkan bayaran yang diterima pun saya malu sehinggalah Datuk Awie membuka mulut.

“Saya pendam sahaja perasaan walaupun saya hanya saya tahu komitmen dan penat lelah menjayakan watak Kak Limah. Kerja sampai lewat pagi dan apabila filem itu pecah panggung, bonus yang diterima sangat tidak memadai,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Bagaimanapun, Dalimawati, 62, tidak menyalahkan Andy Lau selaku pengasas bersama syarikat Infinitus Entertainment Group iaitu syarikat penerbitan HKL, sebaliknya ia tanggungjawab individu yang menguruskan syarikat itu di sini.

“Saya tak salahkan Andy Lau sebab dia tak tahu apa-apa. Yang salah adalah orang yang menguruskan syarikat itu di sini. Mereka yang tetapkan bayaran pelakon dan tentukan wang bonus,” tegasnya. - K! ONLINE