Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, berdasarkan laporan statistik, pihaknya mendapati kebakaran menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri kerap terjadi berikutan kesibukan menyediakan juadah serta kuih-muih sehingga lewat malam.

“Anggota bertugas akan melakukan rondaan di beberapa lokasi bermula seminggu sebelum dan seminggu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Antara kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan panas dan akan dilakukan rondaan adalah di sekitar Gombak Selatan, Wangsa Maju, Bandar Tun Razak dan Pantai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Jalinan Mesra Ramadan dan Berbuka Puasa di Balai Bomba Hang Tuah di sini hari ini yang dihadiri oleh ketua-ketua balai serta anggota bomba dari balai bomba di sekitar Kuala Lumpur.

Turut hadir Ahli Palimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Datuk Seri Azman Ujang, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan serta Setiausaha Persatuan Safety and Health Occupational Employees Society, Hamidun Ismail.

Menurut Khirudin, bagi melancarkan lagi operasi rondaan, beberapa jentera bomba dan ambulan akan diletakkan dalam keadaan bersiap sedia di empat lokasi iaitu di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Kl Sentral, Pasar Seni dan Jalan Sungai Besi di sini. - K! ONLINE