Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid berkata, dron itu digunakan bagi kawasan-kawasan tertentu untuk memudahkan anggota bomba memantau kawasan berlaku pembakaran terbuka dan menyalurkan maklumat itu kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Sebelum ini, kami membuat pemantauan udara menggunakan helikopter," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mohammad Hamdan berkata, pihaknya juga mengenal pasti beberapa kawasan tompok panas di seluruh negara yang dikesan berlakunya pembakaran terbuka antaranya di Selangor membabitkan kawasan Sepang, Batu Arang dan Batang Berjuntai manakala di Pulau Pinang pula ialah Bukit Bendera.

"Ketika ini terdapat satu kes pembakaran terbuka dilaporkan berlaku pagi tadi iaitu di Johan Setia, Kuala Langat membabitkan kawasan ladang berkeluasan 1.35 hektar," katanya.

Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata, pihaknya merancang untuk mewujudkan 'Briged Bomba Metropolitan' di kawasan bandar seperti Pulau Pinang, Selangor dan Johor. 'Briged Bomba Metropolitan' sudah bermula di Kuala Lumpur. - Bernama