Pengerusinya BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, BN sudah membuat persiapan rapi dalam pelbagai aspek sejak 18 bulan lalu dan kini sudah dalam keadaan momentum terbaik untuk berjuang.

“Susulan pengumuman pembubaran Parlimen berkuat kuasa esok, BN Kelantan akan memberi keutamaan dalam memuktamadkan manifesto dan senarai calon selain terus memperkemas jentera parti.

“Sekarang (senarai calon dan manifesto) masih belum muktamad, kita akan muktamadkan dalam tempoh terdekat ini sebab ini perkara utama. Rakyat Kelantan nak tengok barisan calon kita,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Makan Malam Amal Galeri Peranakan Cina Kelantan, di sini malam ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Peranakan Cina Kelantan (PPCK), Lim Kham Hong.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, pihaknya turut merancang pertemuan dengan anak Kelantan di perantauan secara besar-besaran di Kuala Lumpur, Ahad ini. 

Terdahulu ketika berucap, Mustapa berkata,  Galeri Peranakan Cina Kelantan yang terletak di Tanah Merah diharap dapat memelihara warisan masyarakat minoriti tersebut selain mampu menjadi tarikan pelancongan baharu di negeri ini. - K! ONLINE.