Beliau berkata dengan penglibatan seluruh masyarakat, usaha pentadbiran kerajaan merencana pembangunan mampu dilaksanakan dengan lebih menyeluruh sifatnya. 

"Kita mahukan kerajaan baharu ini  lebih mesra sifatnya dan memahami semua golongan masyarakat. 

"Kita berharap tiada pihak yang ketinggalan dalam usaha untuk membangunkan negara dan sebab itu, peranan dan sumbangan anggota masyarakat amat penting dan bermakna kepada kerajaan," katanya ketika berucap pada Majlis Semarak Kasih Nur Ramadan di Seri Satria di sini, hari ini. 

Majlis di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri itu disertai oleh 250 tetamu istimewa golongan asnaf dan kurang upaya daripada beberapa pusat dan rumah kebajikan termasuk Persatuan Cina Muslim He Ping, Persatuan Autism Muslim Malaysia dan Persatuan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia. 

 Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menzahirkan harapan untuk mengenali dan memahami lebih dekat dengan golongan istimewa tersebut bagi memudahkan tugasnya membantu mereka yang berkenaan. 

"Insya-Allah, ia akan dapat membantu tugas saya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Presiden PKR itu mengesahkan bahawa nama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok Dr Idris Ahmad sebagai antara calon yang diketengahkan kepada Istana Selangor untuk mengisi jawatan Menteri Besar Selangor.

"Ada beberapa nama, dan saya akui Dr. Idris antara calon yang dikemukakan untuk pertimbangan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah," katanya. 

Sebelum ini, sebuah laman portal melaporkan komponen Pakatan Harapan mengesahkan sokongan mereka terhadap Dr. Idris dan mengutus surat kepada pihak Istana Selangor bagi menyatakan sokongan agar ADUN Ijok itu dilantik bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar. 

Selain Dr. Idris, nama lain yang disebut sebagai calon berpotensi ialah ADUN Sungai Tua yang juga Exco Selangor, Amirudin Sehari, ADUN Seri Setia Dr. Shaharuddin Badarudin dan ADUN Sungai Kandis Shuhaimi Shafie. 

Mengulas mengenai peletakan jawatan Datuk A Kadir Jasin sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) berkuat kuasa serta merta, Dr Wan Azizah berkata beliau belum mendapat maklumat terperinci mengenai perkara itu. 

"Saya tidak boleh komen banyak kerana belum mendapat maklumat lanjut berkenaan peletakan jawatannya, cuma mendapat gambaran bahawa beliau telah menulis sesuatu yang sedikit menyinggung," katanya. - Bernama