Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, bidaan nombor pendaftaran Malaysia 1 hingga 9999 kecuali Malaysia 2020 akan dibuka kepada orang awam secara tawaran di JPJ negeri seluruh negara.

"Orang ramai boleh membuat bidaan bermula pukul 10 pagi pada 1 Ogos ini hingga 12 tengah hari pada 15 Ogos ini sebelum keputusan pemenang tender diumumkan pada 29 Ogos ini," katanya pada sidang akhbar dalam lawatan rasminya ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.

Kata beliau, hanya nombor pendaftaran Malaysia 2020 disimpan dan tidak dibuka untuk bidaan.

"Harga minima bagi kategori nombor-nombor bernilai utama iaitu daripada 1 hingga 10 adalah RM10,000, kategori nombor-nombor menarik bermula RM2,000 manakala bagi nombor popular dan nombor biasa pula bermula dengan harga RM300," ujarnya.

Menurut Shaharuddin, pihaknya menjangkakan kutipan hasil daripada tender dan penjualan bagi siri nombor pendaftaran tersebut adalah tinggi iaitu mencecah RM20 juta.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada 4 Jun lalu memperkenalkan siri nombor pendaftaran Malaysia yang diwujudkan bagi memupuk semangat kecintaan kepada negara selaras dengan tema Hari Kebangsaan ke-61 iaitu 'Sayangi Malaysiaku'.

Anthony turut menyatakan bidaan itu terbuka kepada mana-mana individu termasuk menteri sementara Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan ditawarkan nombor pendaftaran khas 'Malaysia 2020'. - K! ONLINE