Perdana Menteri berkata, Bersatu hanya memenangi 13 kerusi Parlimen sahaja walaupun bertanding 52 kerusi keseluruhannya. 

Katanya, antara salah satu punca mungkin disebabkan parti itu baharu dan belum dikenali oleh masyarakat. 

"Usia Bersatu sudah tiga tahun, bukan jangka masa panjang namun yakin dapat kekalkan kedudukannya sebagai parti pemerintah. 

"Justeru, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh menambah ahli terutama di bahagian yang besar belaka.

"Saya bangga kalau ahli boleh capai sehingga 300 juta," katanya secara berseloroh ketika berucap pada program Malam Sejuta Kenangan anjuran Bersatu di Pusat Konvensyen Setia Alam (SACC), di sini hari ini.

Turut hadir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Pemuda Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. 

Menurut Mahathir, pengikut amat penting dalam sebuah parti politik bagi menyumbangkan tenaga untuk menjalankan kerja-kerja parti dalam pilihan raya. 

Jelas beliau, namun utama adalah undi rakyat yang berpuas hati dengan prestasi kita. 

"Dulu orang cakap 'Cash is King tapi duit tidak tahan lama, sekejap habis, kesetiaan pun tiada. 

"Yang penting kepercayaan rakyat kepada parti, berkenalan dengan penduduk dan setia serta hormati calon dan parti," katanya. 

Sementara itu, beliau turut menegaskan setiap sumbangan kepada parti politik perlu disalurkan melalui akaun rasmi parti berserta resit.

"Kita akui parti politik perlu wang untuk menjalankan pelbagai program termasuk semasa pilihan raya. 

"Namun tidak boleh dikutip begitu sahaja dengan wang perlu masuk parti dan dikeluarkan resit. Itu peraturan sekarang dan bukan macam dahulu," katanya. - K! ONLINE