Pengarah Urusan Bernas, Ismail Mohamed Yusof berkata, keputusan tersebut bergantung kepada kerajaan untuk menilainya dan fokus pihaknya kini adalah untuk memastikan bekalan beras dalam negara sentiasa mencukupi.

Beliau berkata, sistem yang diguna pakai sejak Bernas diswastakan juga didapati masih relevan untuk digunakan dan harga yang ditetapkan juga berpatutan.

"Bagaimanapun, jika kerajaan mahu kaji semula sistem ini, kami akan bekerjasama. Buat masa ini, saya hanya ingin memastikan bekalan beras cukup selain pesawah di seluruh negara tidak mengalami kerugian.

"Apa saja keputusan kerajaan berhubung AP beras, kita bersedia dan akan meneruskan perkhidmatan sedia ada supaya semua pihak mendapat manfaat," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ulangtahun ke-25 Bernas, di Ibu Pejabat Bernas, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Bernas, Megat Joha Megat Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, sehingga kini, setiap tahun Bernas perlu menyediakan kira-kira dua juta tan metrik beras untuk kegunaan rakyat di negara ini.

"Pengeluaran padi negara setiap tahun mencecah dua juta tan metrik, namun selepas di proses ia boleh menghasilkan hanya kira-kira 1.2 juta tan beras. 

"Keperluan beras negara setahun dianggarkan kira-kira dua juta tan. Justeru, bagi menampung keperluan itu serta memastikan bekalan beras sentiasa mencukupi, kita terpaksa mengimport beras dari negara luar,"ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya berharap agar kerajaan boleh mempertimbangkan untuk melanjutkan kontrak AP beras yang akan tamat pada 2021. - K! ONLINE