Pemiliknya yang juga pengarah terkenal, Ahmad Idham Ahamd Nadzri berkata keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada filem Dukun yang juga akan ditayangkan pada tarikh sama.

Menafikan merajuk atau takut, Ahmad Idham berkata, dia tidak mahu bersaing atau berkonfrontasi sesama sendiri kerana sedar industri perfileman tempatan bukanlah besar.

“Saya tahu Dukun ialah sebuah filem yang hebat dan sebagai orang lama, biarlah saya mengalah walaupun saya masih bingung mengapa ia secara tiba-tiba dimasukkan dalam senarai tayangan.

“Saya tidak menyalahkan pihak filem Dukun kerana apa yang mereka buat itu tidak salah cuma dari segi etikanya mungkin sedikit tidak kena,” katanya pada sidang media khas di Our Private Place, sebentar tadi.

Selain itu, Ahmad Idham juga mempersoalkan mengapa Dukun diberi laluan istimewa oleh Skim Wajib Tayang untuk ditayangkan secara tiba-tiba malah mendapat sehingga 100 buah pawagam untuk tayangan.

“Qhaliq mengikut saluran yang betul namun hanya diberikan 30 buah pawagam untuk tarikh yang sama sedangkan Dukun yang muncul secara tiba-tiba mendapat lebih lagi.

“Kita tidak ada lambakan filem Melayu jadi mengapa perlu letakkan dua buah karya tempatan untuk saling bersaing. Itu sahaja yang saya persoalkan,” tegasnya lagi. 

Terdahulu, filem Dukun lakonan Datin Paduka Umie  Aida, Faizal Hussein dan Namron terbitan Astro Shaw yang sudah diperam 12 tahun diumumkan bakal menemui penonton pada 5 April ini menerusi trailer rasmi yang dilancarkan di semua platform media sosial.