Pengurus Besar Stesen Jana Elektrik Sultan Mahmud, Kenyir, Mustapha Kamal Yaacob berkata, proses pemeriksaan yang ketat dijalankan secara berkala bagi memastikan empangan berada dalam keadaan baik.

"Kita lakukan pemeriksaan secara mingguan, bulanan dan setiap 10 tahun membabitkan pakar-pakar dari luar negara.

"Sejak empangan ini dibuka lebih 30 tahun lalu, paras air tertinggi yang pernah dicatatkan adalah 148 meter ketika banjir melanda seluruh negara pada tahun 2014 dan ia masih dibawah paras amaran iaitu 150 meter," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Keselamatan Empangan 'Latih Amal Tindak Balas Kecemasan Penduduk Mukim Jenagor dan Kuala Berang' di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu di sini hari ini.

Tambah Mustapha Kamal, pihaknya juga sentiasa memantau segala bentuk situasi di luar jangkaan dari masa ke semasa selain menggunakan pelbagai jenis alatan untuk mengukur gegaran atau pergerakan yang boleh mengakibatkan ketidakstabilan pada empangan. - K! ONLINE