Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai berkata, mereka akan diberikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) baharu untuk dicapai dalam masa yang ditetapkan.

"Kami sudah berbincang mengenai prestasi mereka dan Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Han juga ada bertemu mereka secara peribadi untuk mengetahui keadaan semasa mereka.

"Kita akan berikan KPI baru, jika mereka gagal mereka tidak akan lama di BAM. Mereka ada pilihan lain iaitu tinggalkan BAM dan bergerak secara profesional serta mencari tiket ke Sukan Olimpik sendiri," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini hari ini.

Prestasi pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu agak merudum selepas tersingkir awal dalam beberapa siri kejohanan terakhir mereka tahun ini termasuk Korea Masters, Terbuka China, Terbuka Jepun dan Terbuka Indonesia. - Bernama