Kejadian bermotifkan cemburu tersebut terbongkar selepas polis menahan suspek dan teman wanitanya serta seorang lelaki lain di sekitar Gerik Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, suspek dan teman wanitanya masing-masing berusia 41 dan 38 tahun mengaku terlibat dalam pembunuhan itu selepas soal siasat terhadap mereka dijalankan.

“Suspek lelaki itu kemudiannya membawa polis ke rumah ibunya di Kampung Jong, Gerik dan menunjukkan sepucuk pistol jenis Colts Convenent yang digunakan untuk menembak mangsa bersama 35 butir peluru hidup.

“Siasatan mendapati senjata api itu dipercayai diperoleh dari negara jiran dan suspek turut menunjukkan kepada polis lokasi dia membuang dua buah telefon bimbit mangsa di bawah sebuah jambatan di Gerik,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak di sini hari ini.

Tambah Yahya, motif pembunuhan adalah disebabkan cemburu dan berebut wanita yang telah bercerai dengan mangsa sejak Disember lalu.

“Seorang lagi suspek berusia 35 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Kesemua tiga suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga esok dan reman terhadap mereka akan dipohon untuk disambung lagi,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kosmo! pada 9 April lalu melaporkan, mayat seorang lelaki ditemui dengan tiga kesan tembakan di bahagian kepala, dada dan perut yang ditinggalkan di kawasan Ladang Sungai Rui, Gerik.

Mayat mangsa, Kamaruzaman Safri, 38, yang lengkap berpakaian itu ditemui orang awam kira-kira pada pukul 4 petang.

Turut dijumpai berhampiran mayat mangsa ialah tiga butir kelongsong peluru dan sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki. - K! ONLINE