Ia berikutan penularan sebuah video temu bualnya bersama sebuah portal yang bertanyakan beberapa soalan tentang kemerdekaan sehingga dikecam netizen.

Menerusi satu kiriman video di akaun Instagramnya sebentar tadi, Ben atau nama penuhnya Muhammad Benladin Munshi Shaihan, 17, memohon maaf atas perkara itu dan berjanji untuk memperbaiki kelemahan diri.

"Baru-baru ini tular sebuah video berkenaan kegagalan saya menjawab perkara asas tentang sejarah negara. Di sini saya ingin menyusun 10 jari dan memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kesilapan tidak mengetahui ilmu asas itu.

"Selepas ini saya perlu belajar dan lebih peka tentang hal yang melibatkan ilmu sejarah dan patriotik negara. Ini adalah silap saya sendiri dan jangan kaitkan dengan mana-mana pihak. Diharapkan kalian dapat menerima permohonan maaf ini dan saya terima segala teguran dengan ikhlas hati," katanya.

Jelas pelantun lagu Hikayat Ben Ladin itu lagi, dia sebenarnya berada dalam keadaan bersedia untuk mengadakan persembahan sewaktu ditemubual tempoh hari.

Keadaan itu menyebabkan dia tidak bersedia untuk menjawab soalan yang diajukan secara mengejut.

"Fikiran saya pada waktu itu memang sedang fokus untuk buat persembahan. Kerana tidak mahu mengecewakan atau dilabel sombong, saya turutkan sahaja sedangkan otak sedang memikirkan soal persembahan," ujarnya. - K! ONLINE