Baginda bertitah, pembeli dalam talian sering terdedah kepada risiko menerima buah tidak berkualiti atau mungkin dicuri.

"Jangan beli melalui iklan-iklan yang hanya menjual harumanis tetapi tidak dapat dipastikan dari mana sumber buah diperoleh," titah baginda selepas berkenan menerima kunjungan hormat Anggota Dewan Perundangan Nasional Thailand, Datuk Anusart Suwanmongkol di sini hari ini.

Titah baginda lagi, kemuncak musim harumanis Perlis pada tahun ini dijangka pada bulan Ramadan dan orang ramai boleh mendapatkannya menerusi promosi anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara.

Selain itu, buah yang menjadi ikon negeri ini juga dijual di Jabatan Pertanian negeri atau menerusi jualan secara langsung di Pusat Pertanian Bukit Bintang 1, Sungai Batu Pahat dekat sini.

Baginda bertitah, mempelam harumanis juga boleh dibeli terus daripada para pekebun yang mempunyai sijil Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia atau myGAP selain dari kebun-kebun yang dijamin kualiti buahnya. - Bernama